30 Mei 2007. 6 bulan yang menggembirakan. Selepas 2 cahaya mata kurniaan Allah, seorang lagi hadir menyejukkan mata.
Menoleh ke belakang, muhasabah zaman sebelum dan selepas berumahtangga, kadang-kadang saya sering menasihati adik-adik supaya memanfaatkan masa bujang semasa belajar.
Luaskan perjalanan dan optimumkan peluang bergiat seaktif-aktifnya dalam kerja-kerja amal.
Ketika kaki melangkah selaju boleh, sejauh mungkin, manfaatkan segalanya.
Kerana kehidupan berumahtangga, tidak mengizinkan kita untuk membuat keputusan menurut pertimbangan sendiri.
Ada banyak (ramai) faktor yang perlu dipertimbangkan.
Saya tidak menganggap itu sebagai suatu kekurangan, malah ia sangat fitrah sebagai sebahagian daripada proses kehidupan.
Rumah tangga bukan SAYA dan AWAK, tetapi KITA dan KAMI.
Akan tetapi, susunlah kehidupan dengan baik.
Kehidupan berumah tangga adalah sesuatu yang dicita-citakan oleh kita semua. Namun ia seumpama kita membuat Masters dan PhD dalam hidup. Medan tumpuan semakin khusus lagi dibataskan. Maka ruang meneroka harus disesuaikan.
Jangan nanti lupa diri. Jiwa masih adventurous, mahu mencuba ke sana sini. Sedangkan isteri dan anak-anak, bukan perhiasan dinding yang sesuka hati di simpan ke almari.
Imad lahir pada 30 November 2006. Ketika saya dan isteri berada di tengah-tengah pengajian Masters. Kembali menjadi pelajar, juga terus bekerja seperti biasa. Ia bukan suatu kehidupan yang biasa. Segalanya luar biasa.
Cabarannya besar, tetapi kematangan diri membolehkan saya dan isteri bertahan dan maju ke depan.
KEINGINAN BERUMAH TANGGA
Memikirkan gelombang hidup berumahtanggalah, saya tidak gembira apabila ada pelajar yang berkata, "saya perlu segera kahwin kerana bimbang terjebak kepada yang haram!"
Adik-adikku,
Perkahwinan bukanlah untuk menghalalkan apa yang tidak dihalalkan sebelumnya... semata-mata.
Perkahwinan adalah kombinasi cinta, perasaan, keinginan dan tanggungjawab.
Perang melawan keinginan nafsu adalah terlalu kecil jika mahu dibandingkan dengan dugaan-dugaan selepas berumahtangga.
Jika daya tahan dirimu terlalu lemah, hingga menolak zina pun jadi masalah... di mana kekuatanmu untuk membina rumah tangga, memimpin keluarga dan menjadi pembentuk manusia berupa anak-anak?
Saya tidak sama sekali menghalang perkahwinan semasa belajar. Tetapi janganlah perkahwinan itu semata-mata untuk menghalalkan apa yang haram.
Perkahwinan perlu dibina dalam keadaan yang rasional, bersulamkan emosi pengikat diri. Bekal utama hidup berumah tangga, khususnya bagi sang suami, adalah kekuatan mengawal diri.
Atas kekuatan itu Allah amanahkan Talaq di tangan suami!
Langit tidak selalu cerah...
Ada hari, rumah tangga belayar dalam perahu cinta.
Ada harinya pula, rumah tangga bertahan dengan rasa tanggungjawab dan amanah di sisi yang Esa.
Cinta itu naluri, namun kedewasaan mengendalikan cinta, itulah jati diri.
Jangan tergesa-gesa, jangan bertangguh-tangguh.
EDITOR :ABU SAIF & MAWARYANGTINGGI
No comments:
Post a Comment