Coretan Santai : Jiran Dari Syurga atau Neraka?
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Nabi Muhammad s.a.w amat kerap mengingatkan kita perihal jiran sehingga ada para sahabat yang menyangka jiran boleh mewarisi harta pusaka. Selain itu, baginda juga ada memberitahu bahawa antara punca kesejahteraan seseorang insan adalah mendapat kenderaan yang baik, isteri yang solehah dan jiran yang baik. Mengapa begitu penting peranan jiran?
Nabi s.a.w bersabda :
مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ الْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ وَالْجَارُ الصَّالِحُ وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيُّ
Ertinya : Antara sumber kebahagian dan kesejahteraan seseorang Muslim, adalah mendapat rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa (Riwayat Ahmad, At-Tabrani & Ibn Hibban ; Ibn Hibban, Albani menilainya sebagai sohih )
Saya tidak ingin mengulas berkenaan rumah yang luas kecuali sekadar mengingatkan erti ‘luas’ itu tentunya merangkumi fizikal dan juga isi rumah dari sudut pengisian spiritualnya. Hari ini, terdapat banyak rumah yang luas saiznya tetapi dihuni oleh manusia bermasalah serta merasa sempit yang amat. Masing-masing merasa sempit dan sesak dada disebabkan sikap dan sifat mereka sendiri yang gersang dari nilai ruhaniyah dan amalan Islam.
KENDERAAN SELESA
Kenderaan yang selesa, khususnya di zaman nabi dahulu terdiri dari kuda-kuda terpilih merupakan satu kelebihan, bukan sahaja kepada kerja ‘fi sabilillah’ malah juga tugasan seharian pemiliknya. Sehingga kuda-kuda terpilih dan terlatih ini disebutkan sebagai fitrah manusia untuk mencintainya sebagaimana firman Allah :
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاء وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ
Ertinya : Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga). ( Al-Imran : 14)
Terdapat ramai ulama yang menafsirkan erti kuda terlatih dan terpilih serta kuat tersebut kepada kenderaan yang sesuai di zaman masing-masing. Justeru di zaman kita, kenderaan yang mungkin boleh menyamai fungsi kuda adalah kereta-kereta yang baik. Tentunya kereta yang elok lagi selamat memberikan lebih kerehatan kepada pemiliknya untuk bergerak ke sana dan kemari.
JIRAN YANG BAIK.
Amat benar, jiran merupakan satu elemen masyarakat yang amat penting dalam membentuk kerehatan jiwa, fizikal dan mental. Di zaman ini, walaupun semua kita menginginkan jiran yang baik, namun disebabkan hambatan kewangan, faktor memilih jiran yang baik sudah kurang mampu diambil kira di setiap kali kita ingin membeli sesebuah rumah.
Apa yang menjadi penilaian asas kini adalah harga, lokasi, bentuk, luas dan status tanahnya ( freehold atau lease hold). Tentunya, budi bicara jiran sukar untuk dinilai hanya dengan menjeling-jeling ke rumah halaman rumahnya atau sekali dua bertegur sapa. Hasilnya, ramai di antara kita terpaksa mengabaikan ‘checklist’ jiran yang baik dan hanya mampu pasrah agar jiran yang telah atau akan berada di sebalah dan sekitar kita adalah jiran yang baik.
JIRAN DI UK, NEGATIF & POSITIF
Sudah beberapa kali saya sekelaurga mendapat jiran yang bermasalah, teringat ketika menyewa rumah di Puchong Perdana. Jiran depan dan kiri kanan amat menyakitkan. Tiadalah sempat untuk dikongsikan dalam coretan ringkas ini.
Apa yang ingin dikongsikan adalah jiran di rumah sewa kami di Leicester, United Kingdom. Inshaallah rumah yang bakal saya tinggalkan sebulan dua lagi. Alhamdulillah.
Jiran di sebelah kiri tidak membawa sebarang masalah, mereka berbangsa India tetapi begitu pembersih orangnya dan lamannya sentiasa kemas dan teratur. Mereka bersifat orang bandar yang buat kerja masing-masing dan hanya sekali sekala menegur kami sekeluarga sepanjang hampir 2 tahun berjiran.
Jiran di sebelah kanan adalah cerita ‘pahit’ kami. Merupakan orang tempatan (British) dan mempunyai 3 orang anak.
MASALAH SATU
Tanda masalah mereka sudah dapat dilihat sejak kami baru menjejakkan kaki ke rumah sewa terbabit, namun tidak dijangka tekanan akan berterusan. Masalah pertama yang dikenalpasti adalah ketika rumah sewa ini kosong, mereka rupanya ‘mencuri’ line aerial television di rumah yang kami baru sewa ini. Hal ini hanya disedari apabila technician Virgin Media, UK datang untuk memasang talian internet dan tv di rumah kami. Line tersebut dengan segera diputuskan dan technician berbangsa English tersebut kelihatan sempat menegur jiran sebelah sewaktu menanggalkan kabel mereka.
KEDUA
Masalah kedua yang berterusan sehingga artikel ini ditulis adalah pagar kayu di belakang rumah sewa kami, yang sengaja dibocorkan oleh jiran sebelah kerana membiarkan anjing mereka membuang najis. Mungkin sejak sebelum kami memasuki rumah ini, telah diajar dua ekor anjing mereka untuk membuang segala jenis najis mereka di halaman belakang rumah sewa ini. Lantaran itu, tabiat itu masih ingin ditersukan walau rumah sewa ini telah dihuni oleh kami.
Lebih teruk dari itu, anjing mereka juga amat kerap membuat bising dan ‘garang’ pula, pantang melihat kami keluar sebentar ke laman belakang, pasti disalak dan adakalanya mengacah-acah untuk mengejar kami.
Ada anak-anak warga Malaysia di Leicester dikejar sewaktu bermain di belakang rumah kami.
Sejak dari itu, menjadi sebahagian ‘jihad nafsu’ bagi saya untuk menguruskan laman belakang, mengumpul dan menimbus najis-najis yang bertebaran. Adakalanya geram juga rasa ingin mencampakkan semua najis terkumpul ke rumah mereka.
Pelbagai usaha cuba dilakukan, bermula dengan percubaan berbincang dengan mereka, namun sebarang perbincangan dengan isteri jiran pasti hanya akan menaikan amarah disebabkan justifikasi pendek akal yang diberikannya.
Sebagai contoh, bila diminta agar jangan membiarkan anjing mereka memasuki laman rumah kami, dikatanya:
“anjing kami bebas untuk pergi ke mana yang disukainya”.
Bila dikatakan mengapa asyik terdapat lubang di pagar kami, dijawabnya :
“itu pagar kami, suka hati kami untuk membocorkannya“, lalu mereka mendakwa anak-anak penyewa lama yang memecahkan pagar mereka dan sebagai balasan dibiarkan anjing mereka membuang najis di laman kami.
Berusahalah juga pada mulanya untuk kami selaku penyewa baru menuntut jiran yang pelik ini untuk menuntut sebarang ganti rugi dari pemilik rumah dan bukan menyusahkan kami selaku penyewa baru.
“aku sudah menghubungi pemilik tetapi dia tidak memberi respond” kata suami jiran sebelah yang lebih ok berbanding isterinya.
“beginilah, kalau engkau inginkan pagar dibaiki, engkau minta tuan rumah beli dua papan pagar baru dan aku selaku kontraktor boleh memasangnya dengan harga murah iaitu £ 50 sahaja” kata suami jiran yang sememangnya seorang builder, mencadangkan penyelesaian. Tapi jelas cuba mengaut keuntungan dari konflik pagar ini.
Tiba-tiba, selang beberapa minggu, berjaya dibuktikan melalui agen dan City Council bahawa pagar yang dipecahkan itu sebenarnysa milik rumah sewa kami. Tatkala mengetahui berita itu, jiran ini senyap sunyi. Ternyata mereka memecahkan pagar kami yang disangka pagar mereka.
Tapi buruknya perangai mereka, masih enggan membetulkannya. Terpaksalah saya mendesak tuan rumah membeli saja pagar baru dan sama ada mengupah orang memasangnya atau memberikan kepada jiran tadi dengan bayaran.
Selang beberapa minggu, dua keping pagar baru sampai, dan rupanaya tuan rumah beralah dan membenarkan jiran memasangnya dengan bayaran terus kepada mereka. Gembiralah agaknya jiran ini, masakan tidak, memecahkan pagar kami dan kemudian mendapat bayaran untuk memasangnya pula.!
Alhamdulillah, lega kami sudah boleh menggunakan ruang laman di belakang rumah.
Namun kelegaan itu tidak panjang.
Pagar bocor lagi, kali ini di tempat lain dan anjing mereka masih masuk. Bila ditegur, si isteri menjawab :-
“bukan kami yang lakukan”
Padahal terang-terang sama ada mereka atau anak mereka yang lakukan, kerana kami sekeluarga sukar menggunakan laman belakang rumah disebabkan dipenuhi najis anjing mereka dan sentiasa disalak.
Pelbagai jalan cuba dicari untuk menyelsaikan masalah anjing cerooh kawasan. Namun di UK, anjing ditatang begitu mulia dan mendapat tahap penghomratan seperti manusia. Malah anjing amat istimewa bagi mereka. Justeru, amat sukar bertindak. Di sebuah halaman pihak berkuasa, apabila ditanya maslaah ini, hanya memberi nasihat:
“jika anjing masuk ke kawasan rumah kamu dan menyalak bising, tandanya kamu perlu menjadi rakan kepada anjing terbabit”.
Setelah cuba berusaha mencari jalan terbaik menyelesaikannya, akhirnya, dapat juga dihubungi ‘dog warden’ dan mengadu masalah. Sesudah itu, saya difahamkan dog warden telah menghantar surat amaran kepada jiran, dan jika anjing mereka menceroboh kawasan rumah kami lagi, mereka akan didenda.
Situasi pulih sekitar 1-2 bulan, kemudian pagar yang ditutup, bocor pula di tempat lain. Saya cuba mencari papan-papan tambahan untuk menutup lubang-lubang yang dibuat. Namun setiap kali di tutup setiap kali itu jugalah tempat bocor baru dibuat.
Begitulah keadaan berlalau sepanjang dua tahun, ada pulih seketika setiap kali kami menutup lubang yang dibuat.
TOLERAN ATAU GADUH?
Tatkala itu, terfikir apakah tindakan yang terbaik untuk dilakukan, adakah masih ingin menunjuk sikap lembut? Niat asal ingin memaparkan tingginya hemah dan toleransi muslim. Namun terfikir adakah ia wajar atau lebih baik bertukar sifat kepada ‘brutal’ atau ‘izzah’ ke atas orang kafir lalu melawan dengan kaedah keras?.
Sukar ..
Bimbangkan keselamatan keluarga disebabkan kerana saya kerap ke luar kawasan dan luar Negara. Mereka pula mempunyai kumpulan pembenci muslim di sini. Justeru, terpaksa dibatalkan sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan dan mengundang masalah lain, khususnya kepada keluarga.
Sebagai alternative, cara ‘offensive’ yang secara tidak langsung digunakan, saya mula membeli beberapa bahan gel kimia berbau kuat yang dibuat khas untuk menghalau anjing. Gel tersebut diletakkan di sekitar lubang pagar, dengan harapan anjing tidak boleh melintasinya. Selain gel, racun-racun tikus juga ditabur berdekatan lubang di sebelah kawasan rumah kami. Ia bertujuan meracun tikus yang memang ada sedikit di belakang rumah kami dan mungkin juga boleh mengacah jiran sebelah agar menjauhkan anjing mereka dari kawasan rumah kami, bimbang memakan racun tikus yang ditabur.
Malangnya anjing masih masuk khususnya apabila semua gel dan racun tikus terbabit ditutupi oleh salji yang turun. Pun begitu, cara tersebut telah berjaya mendapat sedikit perhatian jiran, lalu mereka kelihatan menutup lubang-lubang yang ada.
Namun seperti biasa, lubang baru akan wujud lagi, tidak pasti siapa yang membuatnya, sama ada jiran itu sendiri kerana tidak mahukan halaman belakang rumah mereka dipenuhi najis anjing mereka, atau ia dilakukan oleh anak-anak lelaki mereka yang ‘kurang ajar’.
MAIN BOLA PULA
Anak lelaki mereka juga dengan selambanya bermain bola di tengah-tengah jalan dan memenuhkan kereta kami dengan cap bola berlumpur mereka. Bila ditegur, dengan segera si ibu keluar dan menjawab :
“’kamu letak kereta di tempat awam maka kenalah”
Bayangkan betapa peliknya jawapannya..seolah-olah semua kereta jika diletakkan di tempat awam, maka boleh dihentam sesuka hati oleh bola mereka.
Saya menjawab “jika demikian mengapa sebuah lagi kereta saya di dalam kawasan 'parking' saya juga terkena cap-cap bola mereka. Tolonglah jadi orang bertamadun sikit”.
Dia hanya senyap. Tetapi anaknya terus bermain dihari-hari berikutnya dan minggu-minggu berikutnya. Demikianlah..
KUMPULAN PEMBENCI ISLAM
Beberapa bulan yang lepas, di Bandar Leicester, dianjurkan satu demonstrasi membenci orang Asia dan Islam sekaligus, ia dianjurkan oleh English Defence League (EDL). Banyak pengumuman di media meminta orang Islam agar tidak keluar ke City Center bagi mengelakan sebarang pergaduhan.
Kami hanya duduk di rumah tetapi, anak-anak jiran kelihatan tidak puas hati dan mengetuk-mengetuk pintu rumah kami dan membaling tin-tin minuman ke pintu rumah kami.
Dapat juga kami menghalau mereka dan merampas tin-tin yang digunakan.
POSITIF DALAM NEGATIF
Itu adalah sedikit dari banyak kisah bersama jiran yang buruk. Dari banyak-banyak kisah sakit hati yang cuba kami sabar itu. Pun begitu, ada satu jasa terbesar mereka kepada saya secaya tidak langsung.
Perangai buruk mereka menyebabkan saya lebih motivasi untuk menyiap tesis PhD saya secepat mungkin. Itulah sahaja pilihan yang ada. Berpindah rumah adalah sukar, khususnya untuk mendapatkan rumah yang berdekatan dengan sekolah anak-anak. Tambahan pula setiap kali niat ingin berpindah itu membuak, pastinya tiada rumah di sekitar ini yang ‘available’ untuk disewa.
Tatkala itu, saya sedar, cara terbaik untuk menamatkan masalah ini adalah menyudahkan phd dan balik ke Malaysia.
Alhamdulillah, setakat dua minggu ini, kelihatan anjing-anjing mereka tidak lagi menceroboh rumah kami, dan saya pula telah berjaya menamatkan penulisan dan hanya dalam masa menunggu viva tesis PhD ini. InshaAllah dalam dua bulan lagi, kami akan keluar dari rumah ini dan pulang ke Malaysia.
ITULAH PENGARUH JIRAN
Demikianlah, besarnya masalah jika mempunyai jiran yang buruk. Malah lebih bahaya, jiran mengetahui waktu kita berada di rumah dan tiada, jika mereka adalah buruk, mereka dengan mudah boleh merancang perkara jahat. Malah pelbagai tekanan tambahan boleh menimpa kita.
Tidak hairanlah nabi s.a.w amat menganjurkan kita berjiran dengan jiran yang baik. Dan yang lebih penting. KITA SENDIRI MENJADI JIRAN YANG BAIK terlebih dahulu, sebelum memikirkan baik buruknya jiran kita. Dengan cara itu, diharapkan semua keluarga mempunyai ‘mind set’ yang sama, iaitu menjadi jiran yang baik kepada jiran-jiran mereka. Hasilnya, sama-sama mendapat kerehatan dan kesejahteraan sewaktu berada di rumah.
Ada yang bergaduh kerana tanah, rumput, pokok bunga, pagar, bunyi, aliran air hujan dan sebagainya. Bukankah baik diselsaikan bersama dalam situasi ‘win-win’. Apalah untung untungnya memberi masalah kepada jiran selain menambah ‘stress’ kepada diri dan menyukarkan diri untuk meminta bantuan apabila terdapat hal kecemasan.. Lebih teruk, mendapat kemurkaan Allah dan azab pula menunggu.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
14 Januari 2011
No comments:
Post a Comment